Month: February 2019

penyakit asma kronik

Penyakit Asma Kronik Anak Artis

penyakit asma kronik

Isteri penyanyi Lan SOLO, Nur Sheila Hassim meluahkan rasa bimbang apabila anak ketiga mereka iaitu Muhammad Akid Qassyaff 4, disahkan menghidap penyakit kronik asma.

Sheila 33, berkata, kanak-kanak itu terpaksa bergantung kepada nebulizer sekurang-kurangnya dua kali sehari.

"Doktor sahkan Akid ada kronik asma, sehari dikehendaki mengambil neb minimum sebanyak 2 kali. Kalau boleh saya nak cari petua dan penyelesaian supaya Akid tak bergantung kepada Neb dan ubat-ubatan yang berpanjangan" ujarnya.

penyakit asma kronik

Lan dan Sheila, 32, berkahwin pada 6 Disember 2009. Pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nur Amna Qaleesya, 6, Nur Amna Qeesyara, 4, dan Muhammad Akid Qassyaff, 3, dan Nur Amna Quxandra kini berusia 10 bulan.

Dalam pada itu, tambah Sheila, terdapat pengikut Instagramnya meminta dia mencari hati unta kering sebagai petua untuk penyakit itu.

"Ada yang mesej suruh saya cari hati unta kering tumbuk dan campurkan pada setiap makanan Akid. Ada juga yang suruhkan mandikan dengan lemon"

"Kalau ada idea dan petua, minta kongsi dengan saya", ujarnya

Sumber Berita : mstar, 4 Disember 2018

penyakit-asma

Memahami Penyakit Asma

Memahami Penyakit Asma

Asma adalah penyakit yang menjejaskan saluran udara. Terdapat tiga faktor yang menjejaskan saluran udara dan menyebabkan ia menjadi sempit:

Keradangan (Bengkak)

Dinding saluran udara menjadi kemerahan dan bengkak. Mengurangkan dan mengawal bengkak ini adalah kunci menguruskan asma. Bengkak kronik dianggap punca serangan asma yang lebih kerap dan membawa kepada kerosakan jangka panjang.

Mukus (Kahak)

Rembesan yang berlebihan dan kahak melekit boleh menghalang saluran udara.

Penyempitan Saluran Udara

Otot-otot kecil sekitar saluran udara mengetat dengan lebih mudah, menyebabkan penyempitan saluran udara. Ini menugurangkan jumlah udara yang dapat dihirup dan kadang-kadang boleh menyebabkan nafas berdehit (wheezing).

​​​​Asma & Saluran Udara Anda

Faktor-faktor di atas boleh menyebabkan kesukaran pernafasan, nafas berdehit (wheezing) dan batuk. Asma dihidapi oleh hampir satu perempat kanak-kanak di Malaysia dan hampir 15% orang dewasa. Malangnya, hanya 40& di kalangan orang dewasa di Malaysia yang menghidap asma mempercayai simptom-simptom asma mereka dikawal dengan baik. Dapatkan anda mengawal simptom-simptom asma anda dengan baik juga? Lengkapkan Skor Asma untuk ketahuinya.

Walaupun asma tidak dapat disembuhkan sepenuhnya, ia boleh diubati dan mampu dikawal dengan pengurusan yang betul.

​​Apakah Yang Menyebabkan Serangan Penyakit Asma?

Terdapat banyak reaksi dan pengalaman yang berlainan apabila serangan asma berlaku. Berikut adalah beberapa contoh:

“Satu pengalaman yang menakutkan. Rasa macam tak leh bernafas, macam nak mati”

“Terasa seperti sedang lemas”

“Rasa seperti ada sesuatu yang berat di atas dada saya, macam kena himpit”

“Rasanya seperti ada awan di dalam paru-paru saya”

Ekspresi yang berbeza, tetapi simptom mereka cenderung kepada tanda-tanda asma. Sewaktu serangan, alat sedutan pernafasan (inhaler) tidak begitu membantu dan simptom-simptom semakin teruk walaupun digunakannya berulang kali. Simptom-simptom mungkin termasuk:

penyakit-asma

​Kesempitan Dalam Dada

penyakit-asma

​Nafas Berdehit (wheezing)

penyakit-asma

​Batuk

penyakit-asma

​Kesukaran Bernafas

​Semasa serangan berlaku, saluran pernafasan menjadi lebih bengkak, yang mengakibatkan halangan yang lebih besar. Ini menyukarkan oksigen memasuki paru-paru dan untuk karbon dioksida dikeluarkan. Keadaan menjadi lebih buruk apabila otot-otot menyempitkan lagi saluran pernafasan dan kahak bertambah, lalu menyempitkan lagi saluran.

​Serangan ASMA

Serangan asma biasanya berlaku akibat pendedahan kepada alergen seperti debunga, kutu debu, lipas atau haiwan. Pencetus biasa yang lain adalah perengsa di udara seperti asap atau asap kimia, dan bau yang kuat seperti minyak wangi atau parfum. Penyakit tertentu juga boleh mencetuskan serangan asma seperti selsema, sinusitis atau jangkitan saluran pernafasan.

​​Bagaimana Paru-Paru Berfungsi

  • Oksigen segar dihirup
  • Mengembara melalui tiub bronkial
  • Oksigen memasuki darah melalui dinding alveoli nipis
  • Karbon dioksida melepasi darah ke alveoli dan dihembus keluar dari badan

Serangan Asma

  • Benda yang boleh menghalang udara masuk, keluar dari paru-paru
  • Otot di sekeliling saluran udara mengetat lalu menyekat udara
  • Keradangan di lapisan saluran udara mengecutkan laluan
  • Lendir berlebihan menyekat saluran udara
penyakit asma

Serangan yang ringan hanya akan berlangsung selama beberapa minit dan dapat diselesaikan sama ada secara spontan ataupun dengan ubat sedutan pelega.

Serangan yang teruk akan berterusan walaupun dengan penggunaan ubat sedutan, dan akan memerlukan pemeriksaan segera oleh doktor.

Apabila keadaan bertambah teruk, pesakit akan mengalami kesesakan nafas sehingga mengalami kesusahan untuk bercakap atau menjalani aktiviti fizikal biasa.

Tanpa rawatan yang betul, ia akan membawa kepada kegagalan pernafasan yang boleh menyebabkan individu tersebut pengsan atau maut.

​Sumber : Asthma Malaysia (www.asthmamalaysia.org)

senaman terbaik asma

Kanak-Kanak Asma Boleh Jalani Hidup Seperti Biasa

senaman terbaik asma

Kebiasaannya mereka yang mengalami asma akan berasa sukar untuk bernafas.

KUALA LUMPUR: Sekiranya anak anda dikesan menghidap asma, anda tidak perlu terlalu resah dengan masa depan atau pelbagai rintangan yang perlu dihadapi sepanjang tempoh mereka membesar.

Kanak-kanak dengan asma masih boleh menjalani kehidupan normal dan aktif sama seperti kanak-kanak lain sekiranya diuruskan dengan baik, dengan gabungan pembaikan persekitaran atau penggunaan ubat sedut pencegahan serangan asma.

Rumusan itu dijelaskan oleh Pengerusi Majlis Asma Malaysia, Dr Norzila Mohamed Zainudin dalam ucapannya semasa pelancaran terapi alat sedut kawalan asma Flixotide untuk kanak-kanak seawal usia satu tahun oleh GlaxoSmithKline Pharmaceutical (GSK) baru-baru ini.

Jelasnya, asma adalah penyakit paru-paru bersifat kronik bercirikan masalah pernafasan yang berulang dengan simptom seperti sesak nafas, berdehit (wheezing), dada terasa ketat dan batuk.

"Semasa pernafasan biasa, udara masuk dan keluar dari paru-paru dengan lancar tanpa sebarang halangan, tetapi sekiranya asma tidak diurus dengan baik, salur pernafasan menjadi ketat, radang dan bengkak, menyebabkannya sangat sensitif dan mudah mendapat serangan asma," katanya.

Asma adalah penyakit yang sangat mudah ditemui di serata dunia, dengan anggaran sekitar 300 juta populasi dunia menghidapnya.

Malah, berdasarkan satu kajian oleh Global Initiative for Asthma (GINA), angka itu akan bertambah sebanyak 100 juta lagi menjelang 2025.

Kajian juga menunjukkan, lebih 10 peratus penduduk di negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Amerika Selatan, Australia dan Selatan India menghidap asma.

Masalah Utama Kanak-kanak

Majlis Asma Malaysia menyebut bahawa sekurang-kurangnya tujuh peratus rakyat negara ini terpaksa hidup dengan masalah asma, malah Dr Norzila berkata penyakit itu adalah penyakit kronik yang paling kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak Malaysia.

"Sekitar 4.5 peratus kanak-kanak tempatan dalam lingkungan usia baru lahir hingga mencecah usia 14 tahun menghidap asma," ujar Norzila.

Asma tidak boleh diubati, bagaimanapun ia boleh dirawat dan dikawal dengan berkesan.

Kajian menunjukkan bahawa dengan rawatan yang betul, hampir semua penghidap asma boleh mendapat dan mengekalkan kawalan asma yang baik, hidup aktif tanpa memerlukan rawatan berulang ke hospital atau bilik kecemasan.

Kepentingan Terapi Kawalan Asma

Selaku penghidap asma, Dr Norzila memahami bahawa, pasakit secara amnya hanya mahu merasa sihat dan menjalani kehidupan harian secara normal tanpa sebarang gangguan.

"Kerana itulah pakar perubatan kini amat menekankan kepentingan terapi kawalan asma bagi mengurangkan radang salur pernafasan serta respon serangan asma yang keterlaluan bagi mencapai kawalan asma berkesan.

"Ini amat penting khususnya kepada kanak-kanak penghidap asma agar proses pemodelan semula salur udara yang berlaku ketika serangan asma boleh dikurangkan," tambahnya sambil menerangkan bahawa proses pemodelan semula itu boleh menyebabkan gangguan salur pernafasan secara kekal apabila mereka meningkat dewasa.

Rawatan asma, jelas Dr Norzila, boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu untuk kelegaan dan untuk kawalan.

Rawatan untuk kelegaan mempunyai kesan segera dan bersifat jangka pendek bagi membantu melega dan menghentikan simptom semasa serangan asma, sedangkan terapi kawalan membantu mengawal atau menghalang serangan asma untuk jangka masa panjang dengan mengurangkan keradangan atau mukus yang menyekat salur pernafasan.

Berkesan Untuk Bayi Satu Tahun

Sementara itu, Pengurus Urusan Perubatan GSK, Dr Thravin G Nathan menjelaskan bahawa, produk alat sedut dos tekanan bermeter 'Flixotide Evohaler' adalah terapi kawalan paling utama untuk asma kanak-kanak.

Sebelum ini, katanya, walaupun ia terbukti selamat untuk kanak-kanak namun ia hanya dibenarkan untuk kegunaan kanak-kanak berusia empat tahun dan ke atas.

"Alat sedut ini mempunyai kesan anti-radang yang sangat berkesan, menjadikannya sangat sesuai untuk rutin pengurusan asma jangka panjang," katanya.

Kini, selepas lebih banyak kajian, GSK mengumumkan bahawa indikasi terapi kawalan asma itu dilanjutkan untuk kanak-kanak yang lebih muda iaitu penghidap asma berusia satu tahun ke atas.

"Justeru, semua kanak-kanak yang memerlukan boleh menggunakan Flixotide setiap hari sebagai langkah berkesan mengelakkan serangan asma," jelasnya sambil menambah bahawa penghidap muda boleh hidup dengan lebih selesa tanpa gangguan simptom pada waktu malam atau serangan yang teruk.

Aktif Mencapai Potensi

Ini penting kerana asma yang dikawal dengan baik membolehkan kanak-kanak aktif, menjalani hidup yang lebih produktif dan gembira supaya mereka boleh mencapai potensi terbaik dalam kehidupan mereka.

Faktor ini ditegaskan oleh Feridah Kholil Mustapha, 41, seorang ibu penghidap asma yang turut mempunyai dua anak lelaki yang menghidap asma.

Katanya, berbeza keadaan semasa dirinya membesar, pergerakan dan aktiviti sekolahnya sangat terbatas dan sering terpaksa bercuti sakit apabila diserang asma ekoran rawatan terapi sebegitu belum wujud.

"Tetapi anak-anak saya dilatih dengan rutin menggunakan alat sedut kawalan asma setiap malam, jadi mereka lebih bertuah kerana dapat bermain bersama rakan lain dengan lebih bebas, katanya.

Lebih baik lagi, tambah peneraju Kelab Asma Kanak-kanak itu lagi, anak-anaknya turut cemerlang dalam aktiviti sukan termasuk Megat Farhad Muammar Megat Firdouz, 8, yang kini adalah pemain bola sepak sekolah.

Bercerita tentang anaknya yang membesar dengan asma, pengalaman anak bongsunya, Megat Farhad Muammar, dikira sebagai paling mencabar.

Demam Dan Batuk Berpanjangan

"Farhad disahkan menghidap asma seawal usia lapan bulan apabila mengalami serangan asma yang teruk sehingga terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU)," jelasnya.

Beliau menerangkan bahawa gejala yang dialami oleh Farhad ketika itu ialah sesak nafas, demam panas dan batuk berpanjangan, yang mana ibu bapa yang tidak mempunyai pengetahuan tentang asma mungkin menganggap sebagai demam biasa.

"Setiap kanak-kanak tentu pernah batuk dan demam, tetapi sekiranya gejala itu sebenarnya gejala asma tetapi tidak dirawat sewajarnya sudah tentu ini akan menyukarkan kehidupan anak dan seterusnya boleh memberi kesan kurang baik terhadap keyakinan diri," tambahnya.

Justeru, ujarnya, ibu bapa perlu memberi perhatian sekiranya anak sakit terlalu kerap kerana tanpa rawatan sewajarnya, saluran pernafasan yang mengalami keradangan ekoran asma boleh menjadi lebih teruk dan serius.

Kawal Persekitaran Rumah Setakat ini, menggunakan rutin terapi kawalan asma dapat membantu menghalang serangan asma yang serius dibantu dengan beberapa langkah pencegahan serangan asma di rumah.

Ini termasuk membersihkan rumah dengan kerap menggunakan penyedut vakum, menggunakan hamparan lantai nipis bukan permaidani serta tidak membenarkan mainan gebu seperti patung beruang atau kucing di rumah.

Feridah juga cuba memastikan suhu persekitaran rumah terkawal dengan penggunaan kipas dan pendingin udara selepas mendapati anaknya mudah diserang asma pada hari yang terlalu panas.

Beliau juga memberi peluang anak-anaknya bersahabat dengan kanak-kanak penghidap asma lain menerusi komuniti Kelab Asma Kanak-kanak yang aktif menjalankan pelbagai aktiviti termasuk kem cuti sekolah.

"Bagaimanapun, semasa aktiviti kem seringkali saya pula yang terkena serangan asma ekoran keadaan bilik atau dewan yang tidak cukup bersih, sedangkan kanak-kanak boleh bergembira tanpa masalah," katanya.

Rokok Musuh Pengidap Asma Beliau menjelaskan setiap orang mempunyai pencetus asma yang berbeza, selain suhu dan habuk, pencetus asma yang paling kerap ialah asap dan bau rokok.

Perkara ini turut dipersetujui oleh Dr Norzila sambil menjelaskan bahawa pendedahan terhadap asap rokok basi, nikotin dan lain-lain racun dalam rokok amat merbahaya dan memburukkan lagi keadaan penghidap asma.

"Sedangkan paru-paru mereka yang bukan menghidap asma juga akan mengalami kesan buruk apabila terdedah kepada racun sebegini, apatah lagi penghidap asma yang mempunyai salur pernafasan sensitif.

"Lebih menyusahkan lagi, sisa-sisa rokok itu akan terus kekal dalam bilik yang pernah digunakan oleh perokok seperti hotel dan dewan walaupun telah dibersihkan, dan terus menerus menjadi agen pencetus serangan asma," tegasnya sambil menyeru agar orang ramai lebih prihatin dan tidak sewenang-wenangnya merokok di merata-rata tempat.- BERNAMA

Sumber Rencana : mstar (14 Jun 2011)

penyakit asma

Rawatan Kecemasan Meredakan Asma

ASSALAMUALAIKUM. Setiap jemaah umrah dan haji inginkan kesihatan yang baik sepanjang di Tanah Suci. Namun, pening, demam, selesema, sakit tekak dan batuk-batuk sukar dihindari apatah lagi dengan perubahan cuaca, kesesakan serta keadaan berhabuk.

Saya sendiri kadangkala melalui keadaan seumpama itu, seperti sakit kepala, tekak dan batuk. Namun, keadaan itu tidaklah menjejaskan ibadat kerana saya masih mampu menunaikan solat di Masjidil Haram dan melakukan pelbagai aktiviti lain.

Bagaimanapun, pada kunjungan baru-baru ini, saya mengalami serangan asma atau lelah yang agak teruk dan tidak pernah sekali-kali saya sangka akan melalui keadaan seumpama itu kerana sangat jarang saya mengalami lelah kecuali setelah batuk berpanjangan.

Ketika di Makkah, segala-galanya berjalan lancar biarpun cuaca panas kering dan saya berpuasa sunat. Namun, hari kedua di Madinah saya diserang asma yang teruk dan nafas menjadi pendek-pendek serta berbunyi selepas menunaikan solat Asar. Saya tersandar di atas katil sementara menunggu anak saya pulang dari masjid.

Melalui kolum ini, ingin saya berkongsi pengalaman merawat lelah yang mungkin boleh dihidapi anda sendiri atau rakan-rakan jemaah lain.

Terdahulu, pada pagi itu, selepas bersolat di Masjid Nabawi dan bersarapan, semua jemaah berkumpul di lobi hotel untuk memasuki Raudah dan menziarahi makam Rasulullah S.A.W.

Jemaah dari Malaysia menunggu dengan penuh sabar dan tenang. Ada yang berdoa dan berzikir sementara menunggu giliran memasuki Raudah.

“Kenapa muka hajah merah?” tanya seorang jemaah.

“Ye ke? tanya saya.

“Ye. Hajah tak sihat ke?” tanya jemaah itu lagi.

“Alhamdulillah. Merah sangat ke muka saya?” tanya saya lagi agak kehairanan.

“Ye merah,” ujar jemaah itu.

Saya diam saja. Setelah menziarahi Raudah, kami berjalan pulang ke hotel Mawaddah Waha yang terletak di belakang hotel Anwar Movenpick.

Tiba di hotel penginapan, saya terasa letih dan mengatakan kepada anak, saya keletihan untuk bersolat jemaah di masjid dan menyuruhnya ke masjid bersama-sama jemaah lelaki.

Setengah jam sebelum masuk waktu Asar, saya mengatakan sekali lagi kepada anak saya bahawa saya tidak sihat untuk ke masjid kerana mula batuk dan agak sukar bernafas. Saya menyuruhnya mengikut jemaah lelaki dikenali sebagai Rafaie.

Sejurus anak saya pulang ke bilik hotel, saya mengajaknya ke lobi dan bertemu petugas agensi pengendali umrah untuk maklumkan keadaan saya.

Petugas itu membawa saya ke farmasi di dalam hotel Anwar Movenpick. Turut menemani saya ialah dua lagi sahabat iaitu Sharah dan Intan selain anak saya, Aliff.

Tiba di farmasi, saya minta diberi nebulizer kerana sukar bernafas. Bagaimanapun, tiada nebulizer di situ kecuali saya membeli peralatannya. Harganya memang mengejutkan, hampir RM600 dan paling murah, hampir RM400. Saya membatalkan hasrat membelinya kerana sangat jarang memerlukannya, tambahan pula serangan asma sekali atau dua kali setahun.

Saya meminta ubat untuk meredakan keadaan saya. Lantas beliau memberi saya Butalin 2 mg setelah Neulin yang saya minta tiada dalam stok. Mulanya saya agak bimbang untuk mengambilnya apatah lagi dimaklumkan Butalin boleh menyebabkan keadaan berdebar-debar dan jika keadaan itu berlaku, saya dinasihatkan berhenti mengambilnya dan segera berjumpa doktor.

Saya dinasihatkan ambil sebiji Butalin pada sebelah malam.

Pada masa yang sama, saya turut membeli bahan penyembur iaitu Allergens Neutralising Spray jenama Allergoff seperti dinasihatkan kakitangan farmasi berkenaan.

Semburan itu berharga SR100 berukuran 300 ml perlu disembur di dalam bilik termasuk cadar, bantal, permaidani dan langsir kerana kakitangan farmasi itu berpendapat bahawa saya alah pada sesuatu melihatkan daripada wajah saya yang kemerah-merahan terutama di bahagian dahi dan sekitar mata.

Hakikatnya, saya juga hairan kerana batuk yang tidak teruk boleh menyebabkan saya diserang lelah sehingga nafas berbunyi.

Setelah mengalas perut dengan roti, saya mengambil sebiji Butalin pada jam 6.30 petang. Tidak sanggup saya menunggu malam seperti disarankan.

Saya mohon Aliff mendoakan kesihatan saya. Hati terasa begitu sayu dan sedih kerana tidak dapat bersolat di Masjid Nabawi.

Selepas Isyak, saya turun ke lobi mencari mutawif untuk bertanya mengenai hospital terdekat. Mutawif bernama Imran menasihatkan agar tidak ke hospital kerana dikhuatiri mereka akan menahan saya dan melakukan pelbagai pemeriksaan.

Hospital Ansar adalah paling dekat. Ia sebuah hospital kerajaan dan untuk ke hospital berkenaan, anda boleh menaiki teksi dengan tambang sekitar SR10. Bagaimanapun, setelah mendengar nasihat Imran, saya batalkan hasrat ke hospital.

Imran mengajak saya ke pusat perubatan di dalam bangunan hotel Anwar Movenpick. Dengan ditemani Aliff dan Imran, saya berjalan ke pusat perubatan itu tetapi setiba di situ pada jam 9.45 malam, ia sudahpun ditutup walaupun tertera di situ waktu operasi sehingga jam 10 malam.

Saya semakin risau kerana ubat belum menunjukkan sebarang kesan dan saya tidak selesa kerana nafas terus berbunyi. Saya menggosok minyak panas yang dibawa dan tidak dapat tidur lena sepanjang malam itu.

Sesudah Subuh, Sharah dan Intan sekali lagi datang menziarahi bertanya khabar serta membawa makanan di dalam bilik. Keadaan saya agak reda setelah dapat tidur seketika selepas solat Subuh. Namun lelah masih menyesakkan dada.

Sharah meminta mangkuk dan menyuruh Aliff mengambil air panas di dewan makan. Sharah masukkan Vicks di dalam mangkuk berisi air panas dan menyuruh saya menyedut campuran air panas dan Vicks setelah mengambil tuala dan menutup kepala serta muka saya (umpama wajah diwapkan).

Selepas 10 minit menyedut campuran air panas dan Vicks, saya terasa lega.

Sharah dan Intan turut mengurut bahagian belakang badan saya. Setelah mereka pulang, saya terasa semakin lega. Tidak lama selepas itu, saya dapat melelapkan mata. Bunyi nafas akibat lelah juga kian perlahan. Alhamdulillah.

Usai Zuhur, sekali lagi Sharah dan Intan datang ke bilik saya untuk melihat keadaan saya. Sekali lagi saya menyedut campuran air panas dan Vicks. Selepas itu, mereka sekali lagi mengurut saya. Setelah kali kedua menyedut hawa campuran air panas dan Vicks, bunyi nafas akibat lelah hilang sepenuhnya dan dada terasa begitu lega.

Namun, Sharah dan Intan menasihatkan saya agar berehat terus pada hari berkenaan.

Alhamdulillah, esoknya, iaitu Rabu, saya berpeluang ke Masjid Nabawi lagi dan menziarahi makam Rasulullah dan Raudah. Syukur kerana Sharah berkongsi ilmu dengan saya untuk merawat lelah tanpa penggunaan nebulizer.

Sharah memperoleh pengalaman itu setelah melihat rakannya yang bermasalah lelah kronik memintanya mencampurkan air panas dan Vicks lalu menyedutnya ketika lelah di luar negara. Justeru, jika anda bermasalah lelah dan memerlukan nebulizer tetapi sukar menemukannya, campuran air panas dan Vicks boleh membantu.

InsyaAllah bersambung minggu depan.

Artikel:

7 Jenis Makanan Terbaik utk Atasi ASMA Anda

10 Jenis Makanan yang perlu Anda Elakkan untuk Pesakit ASMA

Rawatan Alternatif untuk Asma & Lelah

Source From :-
www.mstar.com.my
www.flickr.com
www.freeimages.com

pesakit asma malaysia

Rakyat Malaysia Pandang Remeh Penyakit Asma

pesakit asma malaysia

KUALA LUMPUR: Tinjauan yang dijalankan oleh Realise Asia mendapati sembilan daripada 10 penghidap asma percaya penyakit mereka dapat dikawal di sebalik gejala yang berterusan dan serangan asma.

Hasil tinjauan yang ditaja Mundipharma Pharmaceuticals menunjukkan bahawa 93 peratus daripada 151 responden Malaysia tidak menganggap penyakit asma mereka itu serius.

Sementara itu, 79 peratus pula percaya mereka boleh mengawal penyakit mereka tanpa bantuan doktor dan separuh daripada responden memberitahu mereka tidak seronok menggunakan alat sedutan atau "inhaler."

Sebagai tambahan kepada hasil tinjauan itu, 41 peratus tidak merasa penting untuk mengambil ubat secara kerap memandangkan mereka tidak mengalami gejala atau serangan asma.

Bagaimanapun, di sebalik tanggapan positif responden, 92 peratus daripada mereka masih mengalami pelbagai gejala yang membimbangkan termasuk sesak nafas, batuk dan sakit dada.

Seramai 62 peratus mengalami masalah susah tidur akibat gejala asma yang berlaku pada waktu malam yang memerlukan rawatan dan 40 peratus memerlukan rawatan kecemasan di hospital.

Apabila keadaan ini berlaku, dua pertiga daripada responden terpaksa tidak hadir ke sekolah atau ke pejabat sekurang-kurangnya sehari sementara seperlima responden memerlukan rehat seminggu.

Hasil tinjauan ini menunjukkan sekiranya penyakit asma tidak diurus dengan baik, ia boleh menjejaskan kualiti kehidupan seseorang serta kegiatan hariannya.

Datuk Dr Abdul Razak Abdul Muttalif, Pengarah Institut Perubatan Pernafasan juga Pakar Perunding Kanan Dada, percaya keadaan yang membimbangkan ini mungkin boleh dikaitkan dengan sikap ambil mudah rakyat Malaysia.

"Walaupun sedang sakit bila kita tanya, 'pak cik apa khabar' mereka akan jawab, 'baik'," kata Abdul Razak sambil menambah pesakit-pesakitnya sering memandang ringan keseriusan penyakit asma mereka.

Bercakap kepada para pemberita di Majlis Taklimat Media Tinjauan Realise Asia di Kuala Lumpur baru-baru ini, beliau berkata pesakit yang percaya asma mereka dapat dikawal berkemungkinan besar tidak mengambil ubat yang mungkin dapat mencegah serangan teruk asma.

Mereka juga, katanya, mungkin tidak akan mengendahkan gejala serangan asma.

"Pesakit asma perlu belajar mengurus keadaan diri mereka dengan lebih lagi agar dapat menyumbang kepada mutu kehidupan mereka.
"Penting juga untuk pesakit berbincang dengan doktor mengenai langkah mengawal asma," katanya.

Asma atau lelah adalah penyakit saluran udara jangka panjang yang kronik. Ia boleh menyebabkan nafas berbunyi, sesak nafas, ketat dada dan batuk.

Ciri utama penyakit ini ialah pencerutan saluran udara dalam paru-paru yang berpunca daripada inflamasi dan menyebabkan pesakit sukar bernafas.

Batuk yang berterusan tanpa demam, terutamanya pada waktu malam dan awal pagi adalah tanda kuat asma.

Tidak seperti penyakit alahan seperti rinitis dan ekzema, asma berkait dengan faktor genetik dan alam sekitar.

Antara punca yang menyebabkan serangan asma termasuk alergen seperti habuk, bulu haiwan, lipas dan debunga.

Punca lain berkaitan dengan asap rokok serta kimia di samping perubatan, seperti contoh aspirin serta kegiatan fizikal.

Sekiranya tidak dirawat, gejala mungkin menjadi lebih teruk dan menjadi lebih rumit untuk dikawal.

Pesakit juga berdepan dengan risiko sakit mendadak, terpaksa dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia.

Asma dianggap isu kesihatan awam serius dan melibatkan lebih 70 juta orang di Asia dan angka ini semakin meningkat.

Antara pilihan untuk mengurus asma ialah dengan penggunaan alat sedutan pengawal dan alat sedutan penahan.

Alat sedutan pengawal biasanya digunakan dua kali sehari untuk mencegah gejala serta membantu inflamasi dalam saluran udara.

Sementara itu, alat sedutan penahan berfungsi untuk melega dan meluaskan otot saluran udara tetapi bukan untuk inflamasi.

Menurut Abdul Razak, ramai yang menderita asma tidak menguruskan penyakit mereka secara berkesan kerana kekurangan ilmu dan masalah kewangan.

Beliau menekankan pendidikan adalah penting untuk menyekat masalah ini bukan sahaja untuk orang ramai tetapi juga untuk doktor.

"Doktor juga perlu belajar bagaimana untuk menangani pesakit asma serta menyakinkan mereka bahawa penyakit ini adalah untuk sepanjang hayat dan memerlukan perubatan berterusan.

"Jika tidak, pesakit mungkin akan mengambil ubat untuk tempoh tertentu sahaja sebelum berhenti," katanya.

Dari segi kewangan, beliau menekankan bahawa klinik kerajaan menyediakan perubatan asma dengan kos amat minimum.

Bagaimanapun, ramai yang lebih suka pergi ke klinik swasta kerana mahukan perkhidmatan yang cepat.

"Tetapi apabila mendengar harga ubat di sana, mereka akan kata mahal dan akhirnya enggan untuk membelinya," tambah beliau.

Satu lagi isu ialah salah tanggapan orang ramai berhubung penggunaan steroid atau 'corticosteroids' dalam perubatan asma.

"Jumlah steroid yang digunakan dalam alat sedutan adalah dos paling minimum.

Ia adalah sedikit berbanding ubat batuk biasa, jadi kesan sampingannya kurang.

"Steroid amat berkesan untuk merawat banyak penyakit yang menyebabkan keradangan bukan sahaja asma dan perlu diambil apabila perlu, " jelas Abdul Razak.

Sumber Berita : mstar (8 Ogos 2015)

tips bercuti asma

Tips Percutian Musim Sejuk Untuk Pesakit Asma

tips bercuti asma

Percutian musim sejuk anda mungkin terganggu jika anda adalah pesakit asma.

Tidak seperti rakan-rakan lain yang mungkin hanya terpaksa menahan kesejukan yang bukan menjadi kebiasaan, anda pula mungkin berdepan masalah pernafasan seperti nafas berbunyi, sesak nafas, ketat dada, bersin serta mengalami batuk yang sakit dan berkahak.

Cuaca sejuk boleh menjadikan gejala asma yang turut dipanggil lelah ini semakin teruk, menjadikan anda tidak selesa, seterusnya menyebabkan percutian anda tidak menyeronokkan.

Asma juga boleh membuatkan anda lebih mudah terdedah kepada sebarang virus selesema, seterusnya membuatkan anda lebih mudah terjejas untuk mengalami jangkitan dada.

Ketika cuaca terlalu sejuk, anda mungkin akan berfikir satu-satunya cara untuk melarikan diri dari mimpi buruk yang tidak dapat dielakkan ini adalah dengan membungkus diri dalam selimut di hotel atau di ruang tertentu.

Tetapi percutian anda sebenarnya tidak perlu menjadi seperti ini!

Anda juga boleh menikmati percutian musim sejuk seperti orang lain asalkan anda tahu cara terbaik untuk menguruskan diri dan situasi semasa.
Di UK sahaja, terdapat seramai 5,400,000 yang menderita asma yang mana saluran udara mereka sangat sensitif.

Pakar perunding pernafasan yang berpusat di Hospital William Harvey di Ashford, Kent, Dr BV Prathibha memberitahu Metro.co.uk: "Perubahan suhu, terutama suhu sejuk, merengsakan saluran pernafasan dan disebabkan penghidap asma mempunyai saluran udara yang sangat sensitif, ia akan mengakibatkan mereka batuk atau mengalami kekejangan dada.

"Sesetengah spora kulat (seperti aspergillus) juga berada di atmosfera, yang turut menjengkelkan saluran pernafasan."

"Selain itu, dengan semua virus flu dan selesema yang tersebar, anda lebih mudah terdedah, terutamanya apabila virus ini mempunyai kecenderungan untuk berubah menjadi jangkitan dada yang menyebabkan anda batuk berkahak sepanjang hari sehingga mengganggu sambutan Krismas anda.

"Walaupun anda mengelak dari persekitaran luar, anda sebenarnya mendedahkan diri kepada pencemaran udara dalaman seperti kotoran habuk dan asap dari produk pembersih di rumah. Dekorasi Krismas juga boleh membuatkan gejala anda lebih teruk."

Berita baiknya ialah terdapat beberapa langkah untuk memastikan anda dapat melindungi diri anda pada musim sejuk!

Pertama sekali, Dr Prathibha menjelaskan bahawa anda harus mengambil inhaler seperti yang disarankan oleh doktor atau jururawat asma anda.

"Sangat penting untuk mengurangkan sebarang reaksi dengan memastikan ubat-ubatan termasuklah inhaler anda, terutamanya inhaler pencegah diambil secara teratur dan seperti yang dinasihatkan.

"Pengambilannya yang kerap mengurangkan sensitiviti saluran pernafasan dan cara ia bertindak balas terhadap perubahan suhu atau sejuk. Anda juga harus menyimpan inhaler ‘reliever’, supaya jika anda mengalami sebarang gejala daripada cuaca sejuk, anda boleh menggunakannya sebagai alat bantuan."

Dia juga mencadangkan beberapa nasihat umum, seperti sentiasa pastikan tubuh anda dilindungi dari kesejukan dan memastikan anda mengambil vaksin selesema untuk meminimumkan kerengsaan.

tips bercuti asma

Berikut 6 tips yang boleh diamalkan penghidap asma ketika bercuti pada musim sejuk.

Pertama:

Jangan lupakan ubat-ubatan! Sebelum bercuti, dapatkan nasihat doktor jika anda tidak pasti apa, bila, bagaimana dan berapa kali yang sepatutnya anda ambil. Anda mungkin mempunyai satu inhaler reliever, biasanya Ventolin, yang perlu anda ambil mengikut saranan doktor. Anda juga akan mempunyai inhaler pencegah, yang harus anda ambil secara tetap, contohnya Symbicort.

Kedua:

Pastikan diri anda kekal kering dan suam! Jangan lupa memakai sarung tangan, selendang dan topi dan sentiasalah bawa payung.

Ketiga:

Bernafas melalui hidung, bukan mulut! Hidung anda menghangatkan udara semasa anda menghirupnya!

Keempat:

Jika anda ingin bersenam, anda masih boleh melakukannya, tetapi lakukannya di tempat tertutup seperti di bilik hotel.

Kelima:

Sentiasa semak ramalan cuaca. Jika ia benar-benar sejuk, sekurang-kurangnya anda sudah membuat persediaan yang sepatutnya.

Keenam:

Sekiranya gejala asma anda terjadi disebabkan perubahan suhu mendadak, ini adalah tip untuk anda yang sudah keluar dari rumah/hotel dan berada di jalan yang sangat sejuk. Cuba balut/lindungi hidung dan mulut anda dengan selendang secara longgar, ini akan segera menghangatkan udara di sekeliling.

Sumber Berita : mstar (28 Disember 2018)

senaman terbaik asma

4 Senaman Terbaik Untuk Pesakit ASMA!

senaman terbaik asma

Kebiasaannya mereka yang mengalami asma akan berasa sukar untuk bernafas.

Sumber Berita : Astro Awani, bertarikh 29 April 2017

MUNGKIN ramai di antara anda atau ahli keluarga yang menghidap penyakit asma bukan?

Kebiasaannya mereka yang mengalami penyakit ini akan berasa sukar untuk bernafas.

Tetapi, tahukah anda bahawa terdapat cara untuk mengubati dan menghindari daripada penyakit ini.

Berikut kami kongsikan empat jenis senaman yang terbaik untuk penghidap asma

Renang
Tahukah anda, berenang boleh disifatkan sebagai latihan pernafasan terbaik. Ini kerana, sewaktu berenang seluruh anggota badan akan bergerak bagi menyempurnakan senaman ini. Jika anda sering berenang, kebarangkalian untuk menghidap asma adalah amat rendah.

Larian
Berlari atau ’jogging’ sememangnya terbukti berkesan untuk mereka yang mengalami asma. Tetapi anda dinasihatkan untuk berlari pada waktu panas atau di atas ’treadmill’. Untuk menjadikan aktiviti ini sebagai hobi, anda juga boleh menyertai program larian yang sering dianjurkan seperti marathon, walkathon, dan sebagainya.

Golf
Pasti ramai di luar sana yang tidak tahu bahawa sukan golf sebenarnya baik untuk penghidap asma. Sukan golf memerlukan anda untuk berjalan jarak jauh dan secara tidak langsung senaman ini baik untuk melatih pernafasan.

Bola Tampar
Bagi mereka yang mengalami asma tetapi ingin aktif bersukan, bola tampar adalah jawapannya! Selain dapat membantu mengawal pernafasan, sukan ini juga baik untuk menurunkan berat badan.

Sumber : IG @Infografik.sihat

Penghidap ASMA, Pastikan ANDA Gunakan Inhaler Yang Betul

inhaler asma

Sumber Gambar : Astro Awani
Inhaler jenis Ventolin Accuhaler dan Seretide Accuhaler ditarik balik dari pasaran di UK selepas kandungan tidak menepati dos yang telah ditetapkan oleh negara tersebut - Asthma UK

​RIBUAN inhaler ASMA ditarik balik dari pasaran di United Kingdom selepas mendapati isi kandungannya tidak menepati dos yang telah ditetapkan.

Arahan penarikan itu dibuat apabila hampir 6,000 pengguna inhaler terkesan selepas menggunakan inhaler tersebut, lapor The Independent.

Menurut Agensi Pengawalseliaan Perubatan dan Kesihatan (MHRA) UK, 2 lot inhaler jenis Ventolin Accuhaler tidak menepati dos yang telah ditetapkan ketika proses pembuatan dan menggesa pengguna untuk menggantikan dengan inhaler yang lain.

Pengurus MHRA, Bernadette Sinclair Jenkins menasihati para pengguna inhaler tersebut untuk berwaspada terhadap kesan sampingan selepas menggunakan inhaler tersebut.

"Sangat penting bagi pengguna inhaler untuk memastikan kesan daripada menggunakan inhaler tersebut. Kami mahu semua Pesakit ASMA serta ahli keluarga mereka berasa yakin dan selamat dengan rawatan tersebut," jelas Jenkins.

Selain itu, Ketua Asma UK, Dr Andy Whittamore turut menyatakan kebimbangannya terhadap Pesakit ASMA yang menggunakan inhaler yang salah.

"Sangat membimbangkan apabila sebahagian Pesakit ASMA menggunakan inhaler yang salah kerana ia boleh membahayakan nyawa mereka.

"Inhaler jenis Ventolin digunakan ketika pesakit mengalami tanda-tanda ASMA seperti batuk, sesak nafas atau semput.

"Kami gesa semua Pesakit ASMA untuk memastikan inhaler yang mereka gunakan tidak terkesan dengan menyemak Nombor Siri di bahagian bawah Inhaler tersebut. Sekiranya salah, mereka dinasihati untuk dapatkan nasihat perubatan dan kembalikan inhaler itu kepada farmasi untuk digantikan," tegas Dr Whittamore.

Selain itu, satu lot inhaler jenis Seretide Accuhaler juga ditarik balik dari Hospital, Farmasi, Peruncit dan Pemborong di UK selepas dipercayai turut terkesan.

Bagaimanapun, MHRA turut memaklumkan inhaler selain jenis Vetolin Accuhaler dan Seretide selamat untuk digunakan terutamanya jenis Ventolin Evohaler, antara inhaler sering digunakan oleh Pesakit ASMA.

Sementara itu, GSK Pharmaceutical Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan hari ini berkata, penarikan balik ini tidak menjejaskan pasaran di Malaysia kerana lot produk yang terjejas tidak diedarkan oleh GSK Pharmaceutical Sdn Bhd (“GSK Malaysia”) di negara ini.

Sumber : Astro Awani, Bertarikh 23 Februari 2018

Petua Asma – 6 Jenis Makanan Untuk Melindungi Dari Serangan Asma

petua asma

Jangan tak tau, ada pemakanan yang boleh menolong anda dari masaalah Asma & Lelah.

Jom kita tengok video ni, makanan apa yang terbaik untuk ANDA!