penyakit asma

Penyakit Asma – Derita Berpanjangan

penyakit asma

Penyakit asma selalu dipandang remeh. Lazimnya, kalau disuruh menamakan jenis penyakit kronik, ramai yang bersetuju dengan masalah jantung, diabetes, darah tinggi, kanser dan seumpamanya. Jarang sekali mendengar penyakit asma disenarai pendek masyarakat umum sebagai penyakit berbahaya.

Begitu juga dengan persepsi sesetengah majikan. Jika pekerjanya mengambil cuti sakit dengan alasan asma, semput dan lelah, kemungkinan mereka akan dipersoalkan atau paling tidak pun dijadikan bahan senda gurau hingga mengguris perasaan.

Asma ialah penyakit yang kerap ditemui dalam kalangan orang sekeliling kita. Walaupun dari sudut fizikal pesakit nampak normal, asma sebenarnya membawa derita tidak berkesudahan kepada penghidapnya.

Pakar Perubatan Dalaman Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Sundari Ampikaipakan berkata, ketika ini asma menjejaskan kehidupan kira-kira 300 juta orang di seluruh dunia. Di Malaysia, sejumlah dua juta pesakit atau satu daripada setiap 10 individu disahkan menghidap asma. Walaupun asma penyakit biasa, namun kadar morbiditi dan kematian akibat penyakit ini terlalu tinggi.

“Majoriti kematian akibat asma di negara ini boleh dielakkan kerana ia berpunca daripada penggunaan alat penyedut (inhaler) yang salah dan pengambilan ubat tidak mencukupi. Namun apa yang dikesalkan, kurangnya kesedaran umum terhadap gejala asma dan kaedah mengurus kesan penyakit berkenaan supaya tidak berlarutan.

“Bayangkan, daripada sejumlah dua juta yang dikesan hari ini, hanya enam peratus asmanya terkawal. Ini bermakna, 1.88 juta rakyat Malaysia masih menghidap asma tidak dikawal yang hanya akan memberi kesan buruk kepada kualiti hidup mereka,” katanya.

Jelas Dr Sundari, Malaysia kini berada di tangga ke-58 yang mencatat kematian akibat asma. Melihat daripada perspektif kerjaya dan persekolahan, hampir 50 peratus penghidap asma di negara ini kerap mengambil cuti disebabkan serangan penyakit terbabit, dengan purata ketidakhadiran sebanyak 11 hari dalam setahun.

Selain itu, rakyat Malaysia juga dilaporkan mengalami penurunan purata produktiviti sebanyak 27 peratus apabila asma mereka sangat teruk.

Menurut Dr Sundari, antara pencetus asma yang kerap dikesan adalah virus, pencemaran udara, makanan, ubat-ubatan, faktor pekerjaan, tekanan emosi, udara sejuk, senaman dan alahan.

“Kita kerap menasihatkan pesakit supaya menjauhi semua faktor pencetus asma. Memandangkan setiap orang mempunyai faktor pencetus berbeza, seelok-eloknya mereka bersikap peka. Biasanya, alahan, haiwan peliharaan dan tempat kerja menjadi faktor pencetus asma.

“Namun apa yang kita perhatikan kini, ramai individu yang mempunyai simptom asma tidak mengambil inisiatif untuk membuat pemeriksaan kesihatan lanjut. Mereka lebih suka membuat telahan sendiri kerana tidak menyedari bahaya asma sebenar.

“Antara simptom yang kerap berlaku kepada penghidap asma ialah batuk berpanjangan, sukar bernafas, pernafasan bersiul dan sesak dada atau semput. Bagi kelompok yang sukar menerima hakikat mempunyai simptom asma, mereka lebih suka mengaitkan situasi tubuh dengan tekanan kerja dan kelelahan mengerjakan rutin harian.

“Sedangkan apabila asma menyerang, saluran pernafasan akan menjadi semakin sempit, dada bertambah sesak dan penghidapnya mungkin berisiko kehilangan nyawa,” katanya.

Berbanding penghidap yang mempunyai asma terkawal, Dr Sundari berkata, mereka tidak akan terganggu dengan simptom lelah, sesak nafas pada waktu malam, tiada serangan akut, tidak perlu menggunakan inhaler (biru), mempunyai fungsi paru-paru normal dan hanya ada kesan sampingan kecil terhadap ubat-ubatan.

PENGALAMAN SEBAGAI PENGHIDAP

Kali pertama mendapat serangan asma, Dr Shazril Ezzany Mokhtar mengakui dia tidak boleh melelapkan mata. Semua yang ada di sekelilingnya dirasakan bagai ada yang tidak kena.

Ketika itu, ibu bapanya bingung. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan selain mendapatkan rawatan doktor dan belajar daripada pengalaman menguruskan dirinya dan kakak.

“Saya kira diri amat bertuah kerana membesar dalam suasana yang cukup baik dan sentiasa mendapat sokongan serta bantuan keluarga. Malah, kerjaya hari ini banyak membuka mata untuk saya sedar betapa pentingnya mengawal asma yang saya hidapi.

“Namun, saya juga sedih kerana kehilangan kakak kesayangan akibat asma kira-kira tujuh bulan lalu. Arwah kakak meninggal dunia pada usia 45 tahun. Sehingga hari ini saya tertanya-tanya faktor yang mencetuskan asma arwah pada hari kejadian kerana dia nampak sihat,” katanya.

Dr Shazril berkata, arwah kakaknya sentiasa cuba mengawal asma yang dihidapi. Mungkin kerana faktor pencetus pada hari kejadian, arwah akhirnya rebah meninggalkan seluruh keluarganya.

“Atas sebab itulah saya mahu membantu kempen kesedaran Asthma Malaysia. Saya mahu lebih ramai mengambil perhatian terhadap keadaan tubuh masing-masing dan berusaha mengawal asma sehingga dapat menjalani kehidupan normal.

“Walaupun asma tidak boleh diubati, penyakit ini mampu dikawal untuk kehidupan yang jauh lebih baik dan berkualiti,” katanya. - Intan Mas Ayu Shahimi

Sumber : Harian Metro, Bertarikh : 22 Mei 2017
Pautan : https://www.hmetro.com.my/hati/2017/05/231427/derita-berpanjangan