Fahami Kawalan Asma

Ramai pesakit anggap asma mereka pada tahap yang baik

Setiap kali tibanya waktu tengah malam, Syaza akan mengalami keadaan batuk tanpa henti walaupun ketika sedang tidur. Kadangkala keadaan tersebut berterusan sehingga keesokan paginya.

Tahu batuk yang dialami bukan batuk biasa kerana dia merupakan penghidap asma, namun gadis ini sekadar mengambil ubat seperti yang telah dipreskripsikan pada awal rawatan tanpa merujuk kepada doktor.

Mungkin anda juga mengalami keadaan yang sama seperti Syaza. Ini menunjukkan anda sebenarnya memandang ringan keseriusan penyakit asma yang dihidapi kerana percaya penyakit terkawal, sedangkan gejala tanpa henti menunjukkan anda berkemungkinan mendapat asma kronik.

Dianggarkan kira-kira 1.6 juta hingga dua juta penduduk di Malaysia menghidap asma. Jumlah ini dilihat semakin meningkat, malah dicatatkan lebih 250,000 dalam kalangan pesakit asma di seluruh dunia maut pada setiap tahun.

Apa yang membimbangkan, majoriti pesakit asma di Malaysia menganggap diri mereka dapat mengawal dengan baik penyakit yang tidak boleh disembuhkan itu, sedangkan sebanyak 93 peratus daripada mereka dikategorikan sebagai kumpulan yang tidak dapat mengawal atau separa kawal asma berdasarkan garis panduan Inisiatif Sedunia untuk Asma.

Menurut Ketua Perkhidmatan Polmonologi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Jamalul Azizi Abdul Rahman, peratusan peningkatan tersebut menjadi kebimbangan terbaharu kepada pasukan perubatan terhadap penjagaan dan pengawalan asma, yang mana mampu memberi kesan buruk kepada kehidupan seharian pesakit.

Hasil tinjau selidik tersebut menunjukkan pesakit kurang faham tentang keadaan mereka dan definisi sebenar kawalan penyakit asma.

Dalam hal ini, pesakit lebih cenderung mengaitkan kawalan asma kepada pengurusan dan bukannya pencegahan.

“Fahaman mereka mengenai pengawalan asma adalah pada tahap yang sangat rendah. Ramai menyangka penyakit asma mereka terkawal dengan mengambil ubat quick-reliever yang berfungsi untuk mengawal dan menghentikan serangan asma.

“Tanggapan ini boleh membahayakan pesakit kerana ramai yang sebenarnya berada pada tahap yang lebih teruk daripada disangka. Mereka memerlukan ubat lain untuk menghalang serangan asma, seperti controller yang digunakan setiap hari bagi memberi perlindungan kepada paru-paru dan menghalang serangan asma daripada bermula,” katanya ketika ditemui pada majlis Hari Asma Sedunia anjuran Boston Scientific di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujarnya, lebih menakutkan lagi ramai pesakit bersikap ambil mudah terhadap penyakit mereka dengan melakukan rawatan sendiri di rumah tanpa merujuk kepada doktor, sedangkan pesakit mungkin sedang berdepan dengan masalah yang lebih serius daripada yang disangka.

Beliau tidak menafikan kebanyakan pesakit boleh mengawal simptom bagi mengelakkan asma berlaku, namun sebahagian daripada pesakit yang menghidap asma yang teruk agak sukar untuk mengawalnya.

“Menurut kajian, pesakit yang tidak dapat mengawal dengan baik asma mereka bukan saja berkemungkinan memerlukan lebih ubat-ubatan, malah 27 peratus daripada mereka berkemungkinan untuk menggunakan perkhidmatan kecemasan dan 20 peratus lagi mungkin dimasukkan ke hospital, berbanding mereka yang mengalami asma kurang kronik atau tahu mengawal simptom dengan betul,” katanya.

Kualiti hidup terjejas

Jelas Dr. Jamalul lagi, kaji selidik Pandangan dan Pengurusan Asma menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 10 peratus pesakit di kebanyakan negara direkodkan menghadapi kekangan dalam melakukan aktiviti harian, senaman fizikal ringan, rekreasi dan riadah, aktiviti sosial, dan tidur.

Asma juga memberi beban emosi apabila sesetengah pesakit menyatakan asma sering membuatkan mereka berasa penat, malu, kecewa, takut dan tertekan, selain beban ekonomi yang tinggi terpaksa ditanggung oleh penghidap untuk membeli ubat dan mendapatkan rawatan.

“Kebanyakan pesakit asma kurang memberi perhatian kepada gejala penyakit yang dihidapi apabila keadaan tidak teruk. Ini akan memberi kesan ke atas kehidupan seharian mereka termasuk prestasi kerja dan sekolah.

“Direkodkan pada tahun 2010, kira-kira 48 peratus rakyat Malaysia ketinggalan dalam hal kerja atau persekolahan mereka dengan peratusan 11.2 ketidakhadiran.

“Jumlah yang begitu tinggi ini menunjukkan pesakit tidak menguruskan keadaan mereka secara lebih baik meskipun tahu mempunyai penyakit asma,” katanya.

Sementara itu, asma yang tidak dikawal dan dirawat boleh menyebabkan kematian, jangkitan pada paru-paru, pneumonia dan jangkitan pada sistem pernafasan.

Asma merupakan penyakit yang tidak boleh sembuh tetapi boleh dikawal. Bagi memastikan anda kekal sihat tanpa asma, disarankan supaya penghidap asma biasa atau kronik melakukan pemeriksaan kesihatan secara rutin dan mengekalkan berat badan yang sihat.

Sejenis penyakit kronik akibat keradangan dan kesempitan laluan pada salur pernafasan yang menyebabkan oksigen sukar untuk masuk ke dalam paru-paru.

Sehingga kini, asma tidak boleh disembuhkan namun bagi penghidap yang boleh melakukan aktiviti harian digalakkan untuk mempelajari cara mengawal asma mereka. Kaedah rawatan untuk penyakit ini adalah dengan menggunakan inhaler atau mengambil pil jenis quick-relief medicines untuk mengawal dan menghentikan asma dan pil pencegahan yang digunakan pada setiap hari untuk melindungi paru-paru dan mengelakkan serangan asma. Pesakit juga boleh mengawal keadaan tahap asma mereka dengan mengelakkan faktor-faktor yang boleh mencetuskan asma.

Asma boleh didiagnos dengan ujian ke atas fungsi jenis paru-paru yang dinamakan spirometry dengan mengukur isi padu udara ketika bernafas dalam dan keluar, serta sejauh mana seseorang itu boleh meniup udara keluar secepat yang mungkin. Disebabkan sukarnya melakukan ujian paru-paru pada kanak-kanak, diagnosis lain boleh dilakukan dengan melihat sejarah perubatan, simptom dan petanda, serta ujian fizikal.

Setiap pesakit berdepan dengan simptom asma yang berbeza yang boleh berubah dari masa ke masa dari segi kekerapan dan tahapnya. Simptom biasa seperti nafas berdehit, rasa ketat di dada, kesukaran untuk bernafas, dan batuk yang teruk pada awal pagi atau tengah malam.

Tiada punca sebenar yang menyebabkan asma namun penyelidik percaya bahawa asma berlaku disebabkan kombinasi faktor genetik dan persekitaran seperti tindak balas alergi pada habuk, hama pada tilam, karpet dan perabot, kulapuk, pencemaran udara, asap rokok, atau bahan kimia di tempat kerja. Faktor lain yang boleh mencetuskan serangan asma adalah udara sejuk, perubahan emosi yang tidak terkawal seperti marah dan takut, senaman fizikal, dan pengambilan ubat-ubatan seperti aspirin, beta-blockers, dan dadah bukan steroid antiradang.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/mega/kesihatan/fahami-8232-kawalan-asma-1.342356#ixzz5fc0uIWUE
© Utusan Melayu (M) Bhd

13 Jun 2016