RIBUAN inhaler ASMA ditarik balik dari pasaran di United Kingdom selepas mendapati isi kandungannya tidak menepati dos yang telah ditetapkan.
Arahan penarikan itu dibuat apabila hampir 6,000 pengguna inhaler terkesan selepas menggunakan inhaler tersebut, lapor The Independent.
Menurut Agensi Pengawalseliaan Perubatan dan Kesihatan (MHRA) UK, 2 lot inhaler jenis Ventolin Accuhaler tidak menepati dos yang telah ditetapkan ketika proses pembuatan dan menggesa pengguna untuk menggantikan dengan inhaler yang lain.
Pengurus MHRA, Bernadette Sinclair Jenkins menasihati para pengguna inhaler tersebut untuk berwaspada terhadap kesan sampingan selepas menggunakan inhaler tersebut.
"Sangat penting bagi pengguna inhaler untuk memastikan kesan daripada menggunakan inhaler tersebut. Kami mahu semua Pesakit ASMA serta ahli keluarga mereka berasa yakin dan selamat dengan rawatan tersebut," jelas Jenkins.
Selain itu, Ketua Asma UK, Dr Andy Whittamore turut menyatakan kebimbangannya terhadap Pesakit ASMA yang menggunakan inhaler yang salah.
"Sangat membimbangkan apabila sebahagian Pesakit ASMA menggunakan inhaler yang salah kerana ia boleh membahayakan nyawa mereka.
"Inhaler jenis Ventolin digunakan ketika pesakit mengalami tanda-tanda ASMA seperti batuk, sesak nafas atau semput.
"Kami gesa semua Pesakit ASMA untuk memastikan inhaler yang mereka gunakan tidak terkesan dengan menyemak Nombor Siri di bahagian bawah Inhaler tersebut. Sekiranya salah, mereka dinasihati untuk dapatkan nasihat perubatan dan kembalikan inhaler itu kepada farmasi untuk digantikan," tegas Dr Whittamore.
Selain itu, satu lot inhaler jenis Seretide Accuhaler juga ditarik balik dari Hospital, Farmasi, Peruncit dan Pemborong di UK selepas dipercayai turut terkesan.
Bagaimanapun, MHRA turut memaklumkan inhaler selain jenis Vetolin Accuhaler dan Seretide selamat untuk digunakan terutamanya jenis Ventolin Evohaler, antara inhaler sering digunakan oleh Pesakit ASMA.
Sementara itu, GSK Pharmaceutical Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan hari ini berkata, penarikan balik ini tidak menjejaskan pasaran di Malaysia kerana lot produk yang terjejas tidak diedarkan oleh GSK Pharmaceutical Sdn Bhd (“GSK Malaysia”) di negara ini.
Sumber : Astro Awani, Bertarikh 23 Februari 2018