ANGGARAN kira-kira 300 juta orang di seluruh dunia menghidap asma dengan 250,000 dilaporkan maut setiap tahun disebabkan penyakit ini, lapor satu kajian pada tahun 2007.
Jumlah penghidap asma meningkat tahun demi tahun dan dianggarkan yang asma berkemungkinan menjejaskan seramai 400 juta pesakit menjelang tahun 2020.
Menurut jurnal dan kajian yang dijalankan di Malaysia, dianggarkan kira-kira 1.6 juta hingga dua juta penduduk di Malaysia menghidap asma dan jumlah ini dilihat semakin meningkat setiap tahun.
Apa yang membimbangkan, majoriti pesakit asma di Malaysia menganggap diri mereka dapat mengawal dengan baik penyakit yang boleh membawa maut itu, sedangkan 93 peratus daripada mereka dikategorikan sebagai golongan yang tidak dapat mengawal atau separa kawal asma mereka dengan menurut garis panduan Global Initiative for Asthma.
Menurut Ketua Perkhidmatan Polmonologi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Jamalul Azizi Abdul Rahman, pendedahan ini merupakan petunjuk berbahaya terhadap penjagaan dan pengawalan lelah pesakit yang mana ia mampu memberi kesan buruk sehingga membawa maut.
“Sebenarnya, kurang 10 peratus penghidap asma di Malaysia yang benar-benar tahu dan dapat mengawal simptom asma mereka dan lebih 90 peratus mengambil ringan cara penjagaan yang betul bagi mengawal asma.
“Pendapat mereka mengenai pengawalan asma adalah amat rendah. Ramai yang menyangka penyakit lelah mereka terkawal dengan mengambil ubat quick-reliever yang berfungsi untuk mengawal dan menghentikan serangan asma sudah mencukupi.
“Tanggapan ini boleh membahayakan pesakit kerana ramai yang sebenarnya berada di tahap yang lebih teruk daripada disangka dan memerlukan ubat lain untuk menghalang serangan asma (controller) yang digunakan setiap hari bagi memberi perlindungan kepada paru-paru dan menghalang serangan asma daripada bermula,” ujarnya bersempena Hari Asma Sedunia yang diadakan baru-baru ini.
Beliau juga menyingkap ramai pesakit yang ambil mudah dengan melakukan rawatan sendiri di rumah tanpa rujuk kepada pakar sedangkan pesakit mungkin sedang berdepan dengan masalah yang lebih serius daripada yang disangkakan.
Kualiti hidup
Menurut kajian, pesakit yang tidak dapat mengawal dengan baik asma mereka bukan saja berkemungkinan memerlukan lebih ubat-ubatan, mereka juga 27 peratus berkemungkinan untuk menggunakan perkhidmatan kecemasan dan 20 peratus lagi mungkin dimasukkan ke dalam hospital berbanding mereka yang mengalami asma yang kurang kronik atau tahu mengawal dengan betul simptom asmanya.
Aktiviti normal seharian akan terkesan lebih sekali dalam seminggu bagi golongan yang tidak pandai mengawal penyakit lelah ini. Menurut Kaji Selidik Pandangan dan Pengurusan Asma, sekurang-kurangnya 10 peratus pesakit dilaporkan mengalami kengkangan dalam akitiviti harian, penggunaan tenaga fizikal normal, sukan dan rekreasi, aktiviti sosial malah tidur.
Asma juga memberi beban emosi apabila sesetengah pesakit dilaporkan asma sering membuatkan mereka berasa penat, malu, kecewa, takut dan tertekan.
Tambah Dr. Jamalul Azizi, beban ekonomi turut meningkat disebabkan asma. Mengambil contoh negara di Eropah, kos penjagaan penyakit lelah dianggarkan berjumlah 18 bilion euro setahun dengan kerugian melibatkan produktiviti hampir 10 bilion euro.
“Pada tahun 2010, 48 peratus pesakit asma di Malaysia tidak dapat ke pejabat atau sekolah kerana asma dengan purata 11.2 hari ketidakhadiran, berdasarkan kajian. Purata produktiviti rakyat Malaysia turut dilaporkan jatuh 27 peratus ketika serangan asma yang teruk, berbanding dengan simptom asma biasa,” jelasnya.
Menurut Dr. Jamalul Azizi, tiada rawatan yang dapat menyebuhkan asma sepenuhnya setakat ini namun pesakit dapat menjalani kehidupan yang normal malah aktif asalkan mereka tahu cara mengawal asma mereka.
Ubat asma dalam bentuk alat sedut atau pil dan ia didatangi dalam dua bentuk iaitu ubat yang memberikan kelegaan segera yang dipanggil relievers bagi mengawal dan menghentikan serangan asma dan ubat pencegahan yang dipanggil controllers, digunakan setiap hari bagi melindungi paru-paru dan menghalang serangan asma daripada bermula.
Asma juga boleh dikawal dengan mengelak daripada berdepan dengan pencetus asma. Rawatan terbaru iaitu termoplasti bronkus juga dapat mengurangkan simptom asma dengan lebih berkesan.
Punca utama menghidap asma tidak diketahui tetapi dipercayai asma berpunca daripada kombinasi genetik dan faktor persekitaran seperti
Punca
- Alergen dalam bangunan (hama pada tilam, karpet dan perabot)
- Alergen luar (debunga dan kulapuk)
- Asap rokok
- Iritasi kimia di tempat kerja
- Pencemaran udara
- Cuaca sejuk
- Perubahan emosi mendadak (marah dan takut)
- Bersenam
- Ubat
Simptom
Setiap pesakit berdepan dengan simptom asma yang berbeza yang boleh berubah dari masa ke masa dari segi kekerapan dan tahapnya. Simptom biasa termasuk:
- Bunyi nafas yang berdehit
- Dada berasa ketat
- Nafas yang pendek
- Batuk yang tidak henti dan bertambah buruk ketika malam atau awal pagi
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/mega/kesihatan/rakyat-malaysia-tidak-pandai-kawal-asma-1.338980#ixzz5fbxjHWxP
© Utusan Melayu (M) Bhd
05 Jun 2016