rawatan asma

Rawatan Asma Kombinasi Terbaru

rawatan asma

Asma merujuk kepada keadaan saluran pernafasan di bahagian paru-paru mengalami penyempitan sehingga penghidapnya sering mengalami kesulitan untuk bernafas.

Kira-kira 235 juta individu di seluruh dunia menghidap asma dan angka ini dijangka terus meningkat saban hari. Di Malaysia saja, dianggarkan 3.4 peratus penduduknya menghidap asma dan ia menjejaskan kualiti hidup ramai pesakit selain meningkatkan risiko kematian disebabkan kegagalan pengambilan ubat seperti yang diarahkan dan kegagalan untuk menguruskan penyakit dengan sewajarnya.

Atas faktor itu, Mundipharma Malaysia memperkenalkan rawatan kombinasi baru bagi asma, dinamakan flutiformÆ yang menggabungkan fluticasone, ubat sedut kortikosteroid (ICS) dan formoterol agonis bertindak lama (LABA), membolehkan pesakit segera mengawal asma untuk jangka waktu yang lama.

Buat pertama kali, dua ubat asma yang berkesan ini digabungkan dalam satu alat sedut (inhaler) aerosol inovatif.

Asma dipandang ringan

Perunding Kanan Pakar Perubatan Dada yang juga Pengarah Institut Perubatan Respiratori Kuala Lumpur Datuk Dr Abdul Razak Abdul Muttalif berkata, hasil tinjau selidik REALISE Asia mendapati rakyat Malaysia tidak menitikberatkan cara pengurusan penyakit asma.

Menurutnya, 41 peratus pesakit tidak menyedari keperluan untuk mengambil ubat secara tetap terutama jika individu terbabit tidak mengalami gejala atau serangan asma.

“Ramai pesakit tidak sedar kemungkinan mereka mendapat serangan asma boleh dikurangkan hanya dengan menggunakan alat sedut mereka secara tetap.

“Kealpaan dari segi penggunaan ubat mungkin disebabkan pesakit sentiasa memperkecilkan keseriusan keadaan mereka sehingga mereka mengalami gejala yang lebih teruk.

“Hampir separuh daripada pesakit yang ditinjau selidik mendapati penggunaan alat sedut menyusahkan menyebabkan terdapat keperluan untuk menyediakan ubat yang bukan saja bertindak cepat dan berkesan, tetapi juga mudah digunakan,”ujarnya.

Penghantaran ubat terus ke paru-paru memang penting dalam pengurusan asma. Untuk tujuan ini, flutiformÆ menambah baik alat sedut yang selama ini digunakan kebanyakan pesakit.

Alat penghantaran flutiformÆ mampu menghantar pecahan zarah ubat yang sangat halus bagi membolehkan lebih banyak deposit ubat masuk ke dalam paru-paru termasuk saluran udara kecil.

FlutiformÆ boleh didapati dalam tiga kekuatan dos yang memberi fleksibiliti kepada doktor untuk memilih dan menyesuaikan dos yang sewajarnya untuk pesakit mereka, bergantung kepada keseriusan penyakit dan tahap kawalan.

Profesor Persatuan Respiratori Pusat Pengajian Perubatan Respiratori Penjagaan Utama, Universiti Aberdeen Prof David Price, menekankan kombinasi fluticasone dan formoterol dalam ujian fasa III flutiformÆ menunjukkan keputusan yang memberangsangkan dari segi keberkesanan dan keselamatan berbanding komponen individu yang diberikan secara berasingan atau serentak menerusi dua alat sedut berasingan.

Beliau yakin beban keseluruhan asma dan kualiti hidup pesakit boleh ditambah baik dengan terapi jangka panjang yang berkesan.

Sementara itu, Pengurus Mundipharma Malaysia Hans Kim berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk membawa ubat baru kepada pesakit menerusi inovasi terbaik berterusan.

Sumber : Harian Metro, bertarikh 20 April 2015
Pautan : https://www.hmetro.com.my/node/45062

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *