
Sebelum itu, kita kenal pasti dahulu, apa itu Penyakit ASMA?
Asma adalah penyakit saluran paru-paru kronik yang menyebabkan kesukaran bernafas yang berepisod. Gejala atau simptom asma disebabkan oleh radang saluran pernafasan kronik yang berterusan.
Oleh itu, saluran pernafasan pesakit asma sangat sensitif kepada pelbagai pencetus. Terdapat pelbagai pencetus serangan asma samaada pencetus dalaman atau pencetus luaran.
Apabila saluran pernafasan mengalami keradangan akibat pelbagai faktor pencetus, saluran pernafasan membengkak dan akan diisi lendir. Otot di dalam saluran pernafasan akan mengecut sehingga menyempitkan saluran pernafasan.
Saluran pernafasan yang sempit menyukarkan udara dihembuskan nafas keluar daripada paru-paru dan menyebabkan berlakunya pelbagai gejala atau simptom asma. Asma boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang berisiko tidak kira peringkat umur.
Simptom Penyakit Asma
Ada pelbagai simptom asma. Simptom ini terdiri dari sebarang tanda kepada tahap yang teruk. Simptom berbeza antara seorang pesakit dengan pesakit yang lain. Sesetengah pesakit mungkin kerap mendapat serangan asma, sesetengah pesakit pula mempunyai gejala-gejala asma hanya pada masa-masa tertentu (seperti pada waktu malam atau semasa bersenam). Manakala terdapat juga pesakit yang mempunyai simptom asma sepanjang masa.
Batuk – kerap dan lebih teruk pada waktu malam atau awal pagi, menyebabkan pesakit sukar tidur atau terjaga dari tidur kerana nafas berbunyi, batuk dan/atau sesak nafas.
Nafas berbunyi – bunyi bersiul nyaring ketika menghembus nafas (paru-paru normal tidak semestinya tiada asma).
Sesak nafas – rasa sesuatu yang mencengkam atau menekan dada pesakit.
Sukar bernafas – sukar menarik nafas, tidak cukup nafas.
Serangan batuk atau nafas berbunyi beserta dengan jangkitan pernafasan.
Kadang kala, gejala asma adalah ringan dan hilang dengan sendiri atau setelah mengambil ubat asma. Ada kalanya pula, gejala asma boleh terus menjadi buruk dan lebih kerap dan pesakit mungkin mendapat serangan asma.
Apa Yang Boleh Menyebabkan Terjadinya Serangan Asma?
Alahan – Alahan terhadap makanan atau habuk. Dicetuskan oleh alergen tertentu, seperti bulu haiwan peliharaan, lipas atau debunga.
Senaman yang berlebihan – Sila dapatkan nasihat daripada doktor mengenai senaman yang kita tidak perlu buat. Kemungkinan akan menjadi lebih teruk apabila bersenam.
Terdedah kepada udara sejuk atau kering. Termasuk juga cuaca panas melampau.
Asma Pekerjaan – dicetuskan oleh perengsa di tempat kerja seperti wasap kimia, gas atau debu.
Simptom Penyakit Asma Semakin Teruk
Asma perlu dikesan dan dirawat awal untuk mengelakkan serangan asma berlaku dan agar tidak menjadi semakin teruk.
Kegagalan mengesan tanda dan simptom awal asma boleh menyebabkan asma lewat dirawat dan meningkatkan risiko dimasukkan ke hospital atau boleh mengancam nyawa.
Berikut adalah gejala-gejala yang menunjukkan asma menjadi semakin teruk:
1. Gejala asma lebih kerap dan mengganggu pada waktu siang.
2. Gejala asma lebih kerap dan semakin mengganggu pada waktu malam.
3. Semakin sukar bernafas (boleh diukur dengan aliran ekspiratori puncak- alat yang digunakan untuk menguji fungsi paru-paru).
4. Semakin kerap menggunakan alat penyedut/nap.
Asma adalah penyakit paru-paru kronik yang boleh menyebabkan tanda-tanda dan gejala-gejala yang berulang yang boleh mengganggu aktiviti harian. Jika tidak dikawal boleh membawa maut.
Pengesanan awal tanda-tanda asma dengan rawatan yang betul boleh menghalang kesan komplikasi asma jangka pendek dan jangka panjang.
Sumber : http://www.myhealth.gov.my
Pautan : http://www.myhealth.gov.my/serangan-asma-serta-fakta-a-mitos-berkaitan-asma/